Tuesday, October 13, 2009

JANJI SEORANG GURU

Penakik pisau raut
Ambil galah sebatang lintabung
Seludang dijadikan nyiru
Setitik dijadikan laut
Sekepal dijadikan gunung
Alam terbentang dijadikan guru

Apabila teringatkan kuliah beberapa minggu lepas yang berbicara mengenai budi seorang guru, ada beberapa kategori golongan cikgu sebagai renungan. Cikgu unggul mendidik dan berwawasan, jelas dan menarik, tegas dan adil. Cikgu peperiksaan mementingkan kejayaan peperiksaan semata-mata. Cikgu disiplin mementingkan aspek disiplin melebihi aspek lain. Cikgu sukan sentiasa mengutamakan sukan. Cikgu makan gaji bekerja untuk gaji. Cikgu zon selesa menentukan kerjayanya selamat. Manakala, cikgu kayu mati sudah tidak berminat untuk mendidik. Pensyarah bertanya kamu mahu jadi guru yang bagaimana? Kamu pilihlah sendiri. Sekarang, ramai guru yang dikategorikan seperti golongan di atas. Namun, golongan guru unggul jarang ditemui di sekolah. Itu bergantung atas kehendak kita sendiri untuk menjadi guru ape.



Saya terfikir sejenak mengenai apa yang dibicarakan oleh pensyarah. Jiwa saya tersentuh dan terusik apabila memikirkan betapa berharganya seorang guru yang unggul. Saya tidak pernah terfikir untuk berada di sini, menimba ilmu agar dilahirkan sebagai seorang insan yang bergelar cikgu. Selepas berjaya ditemuduga, saya mendapat tawaran DPLI di UPSI dalam bidang Pengajian Am. Pada mulanya saya tidak percaya, kerana saya tidak berharap sangat. Rezeki yang dikurniakan ini, saya berterima kasih kepada insan tersayang terutama emak dan ayah. Tanpa doa mereka, saya tidak akan sampai di sini. Saya menanam cita-cita untuk menjadi seorang guru yang unggul dan disukai serta disayangi oleh anak murid saya satu hari nanti. Saya selalu bertanya kepada rakan-rakan yang pernah menjadi guru, bagaimana cara mengajar. Saya risau sekiranya saya tidak akan dapat mengajar dan mendidik dengan baik. Ini kerana saya tidak pernah mempunyai pengalaman mengajar di sekolah seperti rakan-rakan lain. Kemahiran komunikasi dan softskills saya juga agak lemah. Saya percaya saya akan dapat mengatasi perasaan dan masalah ini. Hanya usaha dan pengalaman menjadi penyelesaiannya.


Saya seorang yang bercita-cita tinggi, berusaha gigih apabila melakukan sesuatu, bersemangat waja dan sukakan cabaran. Apabila minda saya sudah disetkan untuk melakukan sesuatu tugas , saya akan berusaha sedaya upaya tanpa menoleh ke belakang untuk menyempurnakannya. Saya mahu menjadi seorang insan yang berguna dan dapat memberikan sumbangan dalam masyarakat. Oleh itu, menjadi seorang guru merupakan perkara yang paling baik dalam hidup saya. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru yang bukan sahaja disukai anak murid, malah berdedikasi, bertanggungjawab, pandai berjenaka, disanjungi serta disayangi oleh mereka agar mereka dapat menerima ilmu yang disampaikan dengan hati yang terbuka. Saya bukan saja mahu menjadi guru yang mengajar akademik semata-mata, malah mahu murid menganggap saya sebagai kaunselor untuk meminta nasihat jika mereka ada masalah. Saya berjanji untuk mendidik anak murid saya dengan sepenuh hati agar dapat mereka akan menjadi insan yang berguna kelak. Saya juga akan terus berusaha untuk maju ke hadapan serta membangunkan diri agar menjadi seorang guru unggul satu hari nanti.


Bukan senang untuk menjadi guru yang unggul dan tidak susah juga menjadi cikgu kayu mati. Namun, fikirlah tentang anak-anak didik kita dan kesan yang mereka akan alami sekiranya mereka mendapat cikgu yang mendidik mereka seperti melepaskan batuk di tangga. Jasa dan pengorbanan seorang guru amatlah besar nilainya dan akan ilmu yang dicurahkan akan dikenang sehingga akhir hayat. Terima kasih cikgu-cikgu yang pernah mendidik saya dari tadika sehingga sekarang. Akhir kata, saya akhiri dengan serangkap pantun.


Satu dua tiga empat
Lima enam tujuh lapan
Ditubi-tubi sampai dapat
Bila dapat maju ke depan

Lima enam tujuh delapan
Rajin belajar cepat maju
Bila dapat maju ke depan
Terima kasih banyak, Cikgu!

0 comments: